Temukanlah dirimu. Kenalilah siapa dirimu yang sebenar.
Kehadiranmu di dunia bukan suatu kebetulan. Semu aitu satu program yang sudah diatur secara berpasangan untuk kita bijak membuat pilihan. Kehidupan juga bukan semata-mata takdir yang berlaku tanpa makna, dan bukan juga sepenuhnya hasil pilihanmu. Di sebalik setiap perjalanan, ada tanda-tanda yang sentiasa hadir bagi mereka yang mahu memerhati.
Alam mempunyai bahasanya yang tersendiri. Bahasa itu tidak sentiasa dapat diterjemahkan dengan kata-kata. Ada peristiwa yang seolah-olah muncul daripada fikiran bawah sedar, ada gerak hati yang sukar dijelaskan oleh logik biasa. Semua itu mengajak manusia mengenal dirinya dengan lebih mendalam.
Jika diteliti pada peringkat paling halus, iaitu dunia partikel dan atom, alam kelihatan sangat kompleks. Ada yang melihatnya sebagai lambang bahawa seluruh kewujudan saling berkait, berasal daripada satu sumber yang sama. Daripada sudut pandangan ini, setiap pemerhatian, setiap pengalaman dan setiap pilihan mempunyai makna tersendiri.
Persoalannya bukan sekadar apa yang berlaku, tetapi bagaimana kita memerhati sesuatu yang berlaku. Pemerhatian yang benar, hati yang tenang dan minda yang terbuka mampu membawa seseorang kepada kefahaman yang lebih luas tentang realiti kehidupan.
Dalam dunia kuantum terdapat konsep kepastian dan ketidakpastian yang menggambarkan sifat zarah-zarah yang sangat kecil. Ramai melihatnya sebagai inspirasi untuk berfikir bahawa realiti lebih luas daripada apa yang dapat dicapai oleh pancaindera. Namun, dalam kehidupan harian, hukum logik dan hukum sebab-akibat tetap penting sebagai asas membuat keputusan.
Apabila seseorang mula mengenali dirinya, dia juga mula melihat kehidupan dengan cara yang berbeza. Setiap pengalaman menjadi pelajaran, setiap ujian menjadi petunjuk, dan setiap pertemuan mempunyai hikmah yang mungkin hanya difahami pada waktunya.
Perjalanan menuju kesedaran rohani bukan bermaksud meninggalkan akal, tetapi mengimbangi akal dengan hati, ilmu dengan hikmah, dan usaha dengan penyerahan kepada Tuhan. Di situlah lahir kekuatan minda, kejernihan jiwa dan keberanian menghadapi kehidupan.
Kenalilah dirimu. Apabila dirimu dikenal, maka kehidupan tidak lagi dipenuhi kekeliruan. Apa yang dahulu kelihatan sebagai kebetulan mungkin mula dilihat sebagai ketetapan dan sebahagian dari perjalanan yang mempunyai makna.
*Kita sering menyangka setiap kemunculan sesuatu itu sebagai kebetulan*. *Wal hal setiap yang hadir itu sebuah ketetapan yang menyapa kita untuk menyambutnya bagi menepati keserentakkan masa untuk menggapainya*. *Oleh itu janganlah sesekali kita menyalahkan takdir*. *Kerana takdir yang tertulis dalam ketetapan itu dijadikan secara berpasangan.* *Dan kita diberi akal dan pertimbangan rasa untuk bebas membuat pilihan*.
Oleh Prof Dr Norhisham Wahab
No comments:
Post a Comment