Tiada kebetulan dalam susunan kehidupan. Apa yang manusia lihat sebagai “rawak”, sebenarnya hanyalah ilmu yang belum sempat difahami.
Segala kejadian bergerak dalam aturan yang sangat halus, tersusun dan berada dalam penguasaan Allah yang mentadbir ruang, masa dan perjalanan makhluk.
Setiap pertemuan sudah memiliki titiknya. Setiap ujian sudah memiliki waktunya. Dan setiap manusia sedang bergerak menuju garis takdir yang telah dirakam dengan penuh ketetapan.
Namun takdir juga memiliki ruang pilihan. Di situlah lahirnya usaha, doa, keyakinan dan semangat.
Manusia yang dipenuhi cita-cita, fikiran yang yakin, hati yang percaya, serta jiwa yang tidak mudah runtuh… akan mula menarik keadaan yang selari dengan getaran dirinya sendiri.
Apabila hati dipenuhi ketakutan, manusia mudah bertemu jalan gelap. Tetapi apabila hati dipenuhi harapan, kesungguhan dan sangka baik, maka terbukalah lorong-lorong pertemuan yang baik.
Satu titik akan bertemu satu titik. Kemudian menjadi pasangan. Kemudian berganda. Kemudian berkembang menjadi perjalanan yang lebih besar.
Begitulah rahsia keserentakan masa. Ada manusia dipertemukan tepat pada waktunya. Ada rezeki muncul ketika jiwa sudah bersedia. Ada ilmu hadir ketika akal sudah matang untuk menerima.
Sebab itu semangat sangat penting. Orang yang benar-benar hidup dalam keyakinan tidak menunggu keajaiban turun dari langit tanpa bergerak.
Mereka berjalan sambil percaya bahawa setiap langkah kecil sedang diperhatikan dan disusun menuju satu destinasi.
Kadangkala sesuatu tertangguh bukan kerana ditolak,
tetapi kerana ruang dan waktunya belum bersatu.
Dan apabila saat itu tiba… perkara yang kelihatan mustahil boleh berlaku dengan sangat cepat, seolah-olah seluruh alam sedang membantu menyempurnakan satu ketetapan.
Oleh Prof Dr Norhisham Wahab