Monday, June 22, 2026

Jaga diri dan nilai

Cara kita menilai hidup akan menentukan arah kehidupan. Jangan memaksa diri sehingga kehilangan diri sendiri. Tidak perlu bergantung kepada pujian, pengiktirafan atau penilaian orang lain untuk merasa berharga. Berdirilah di tempat yang benar dan lakukan apa yang benar, walaupun tidak semua orang menyukainya.


Jangan takut kepada penolakan. Selaraskan hidup dengan prinsip yang diyakini. Apabila prinsip kukuh, jiwa menjadi utuh. Akan terbina benteng batin yang menjaga ketenangan, lalu kita tidak mudah terganggu oleh kata-kata atau tindakan orang lain.


Tidak semua perkara perlu diberikan reaksi. Tidak semua pertikaian perlu dijawab. Belajarlah untuk bertenang. Stabilkan jiwa sebelum membuat keputusan. Jangan mudah dimanipulasi atau diprovokasi. Keputusan yang lahir daripada ketakutan sering membawa penyesalan, manakala keputusan yang lahir daripada kesedaran dan kasih akan membawa ketenangan.


Keutuhan diri tidak bergantung kepada siapa yang datang atau pergi dalam hidup. Jangan hidup dalam ketakutan kehilangan sesuatu. Sedarlah siapa diri kita sebenarnya. Berdirilah dengan kekuatan sendiri, bukan kerana tidak peduli kepada orang lain, tetapi kerana tidak mahu bergantung kepada keamanan yang palsu.


Berhentilah berperang dengan persepsi manusia. Peganglah niat yang jujur. Apabila seseorang mengenali dirinya dengan mendalam, dia tahu bila perlu berbicara dan bila perlu diam. Diam bukan tanda takut, tetapi tanda kebijaksanaan dan ketenangan.


Apabila batin tidak lagi dikuasai kebisingan dunia, gangguan luar semakin hilang pengaruhnya. Kita tidak perlu terlibat dalam setiap perkara yang berlaku. Dunia luar tidak lagi menguasai jiwa. Dalam diam, seseorang menjadi lebih dekat dengan dirinya sendiri.


Jangan kehilangan diri dari dalam. Jadikan motivasi lahir daripada kesedaran diri, bukan daripada pujian atau tekanan manusia. Sumber tenaga yang datang dari dalam diri lebih tahan lama dan tidak mudah melelahkan.


Akhirnya, jagalah nilai, bukan sekadar hasil. Hasil boleh datang dan pergi, tetapi nilai yang benar akan membentuk manusia yang kuat, tenang, dan tetap berdiri walau apa pun yang berlaku.


Oleh Prof Dr Norhisham Wahab

No comments:

Post a Comment